Wednesday, December 24, 2008

ANAK; ANTARA ANUGERAH DAN AMANAH

AWALNYA ANUGERAH…

Tidak ada hari yang lebih bahagia setelah berumahtangga lebih dari hari yang doktor sahkan isteri ku mengandung. Walaupun aku kahwin ketika berusia 22 tahun, tapi aku rasa sudah mampu untuk menerima kehadiran orang baru dalam rumahtangga kami. Penyeri ikatan cinta antara kami. Aku tahu hanya rumahtanggalah medan sebenar untuk mengotakan janji dan membuktikan kebenaran cinta sejati. Kalau nak berkorban…di sinilah tempatnya. Bukan seperti kebanyakan pasangan, sanggup bergolok bergadai, mengorbankan segalanya termasuk maruah dan kesucian diri sebelum berumahtangga demi memikat hati buah hati…bila dah kahwin, lain pula jadinya. Almaklumlah…segala modal cinta dah habis sebelum kahwin dan bila dah kahwin yang berbaki cuma hampasnya yang terus diperah untuk menyuburkan cinta tersebut pada baki usia perkahwinan.

Aku dan isteri amat mengharapkan agar kehadiran orang baru kelak menyuburkan semangat kami untuk terus membina rumahtangga ini di atas jalan dakwah seperti perjanjian bertulis kami sebelum bertunang lagi. Aku mengharapkan biarlah anak pertama yang lahir nanti, perempuan. Kenapa aku suka anak perempuan…entahlah, mungkin aku suka kelembutan dan comelnya anak perempuan disamping hadith nabi yang menjanjikan syafaat kepada ibubapa yang memiliki ramai anak perempuan.

Tak sabarnya aku menunggu kelahiran bayi. Berbekalkan buku persiapan menyambut kelahiran orang baru keluaran majalah NONA…aku siapkan kelengkapan anakku. Tak lah lengkap sangat, maklumlah aku dan isteri masih belajar. Tinggal pula di luar negara. Sumberpun Cuma wang biasiswa aku. Tapi Allah itu maha adil, niat yang baik dan yakin dengan rezeki setiap yang lahir bernyawa..ada je rezeki anak aku. Yang tak mampu dibeli…aku try jahit sendiri. Nak suruh isteri jahit, kakak angkatku kata, tak boleh…wanita hamil 8 bulan ke atas tak boleh menjahit sebab bergegar kandungan. Hurmm…dalam hati aku, banyaknya pantang larang orang mengandung. Dulu waktu isteri aku mula mengandung, kakak angkat ku kata tak boleh isteri buat kerja berat…nanti boleh keguguran. Takutnya aku…so, faham-fahamlah…waktu tu kerja rumah, suamilah yang kena buat. Apa jer yang jauzah nak makan aku belajar masak. Pelik-pelik pulak tu citarasa orang mengandung. Nak makan sataylah, roti canailah, mee kuninglah…kalau kat dalam negara memang tak jadi masalah. Tiap hari nak makan pun boleh, singgah jer mana-mana kedai boleh tapau. Kat negara Arab nak cari kat mana?. Tu yang aku terpaksa belajar buat. Sekarang kalau setakat nak tebar roti canai…boleh la orang ambik aku kerja part time kat kedai mamak.

Pernah dulu jauzah waktu mengandung anak kedua nak makan ABC…pening kepala aku mencari. Akhirnya jumpa satu tempat jual ‘macam ABC’. Restoran Filipina…dalam menu tu tertulis ‘halu-halu’. Nak pergi kesitu kena lah aku sewa kereta. Jauh dari tempat tinggal kami dan di bahagian lain bandar Amman Jordan. Mujurlah kawan aku sudi drivekan kereta sewa tu. Maklumlah aku belum ada lesen lagi waktu tu. Tempat tu ula bukan ada bas. Sampai kat sana, terus aku tempah ‘benda’ tu…isteri aku minum sikit jer…abis gak segelas. Tapi perbelanjaan untuk dapat segelas ‘adik kembar ABC’ tu mencecah ratusan ringgit !!!. Tapi ‘cinta’ perlukan pengorbanan….he he.

Setelah 9 bulan menunggu, akhirnya lahirlah anak pertama kami pada 26 Julai 1992 di Hospital Amir, Roksy, Mesir berbidankan doktor wanita (Dr. Mukarim). Comel dan montel. Apa tidaknya lahir saja dah 4 kg…mak datuk, bulatnya. Apa tak beratnya, umminya selera betul waktu mengandung. Aku pulak kerja masak jer apa yang dia suka...



Aku azankan sendiri dan tak sabar nak bawa balik rumah. Aku namakan ia dengan Syifa’, mudahan menjadi penawar kami dalam melayari baki kehidupan dan penawar kepada kelesuan ummah ini.

Bulan pertama anak aku lahir, tidurpun mesti sebelah aku, kadangkala atas badan...sedap dapat peluk anak sendiri. Wangi dan denyutan nadinya terasa bersatu dengan denyutan nadiku. Seringkali aku terbangun tengah malam sebab terasa ada cecair hangat mengalir di badanku...kencing rupanya. Kebetulan pulak waktu tu kakak angkat ku pesan supaya jangan pakaikan budak kecil dengan diapers, nanti kengkang. So, aku pakaikan ia barut yang dibuat dari kain...bila kencing sure tembus. Tapi anak-anak aku yang lain...maafkan abi sebab pakaikan kalian diapers dari hari pertama lahir lagi. Abi dah sibuk dan tak byk masa nak cuci barut dan badan abi. Kalau kengkang nanti, masuklah mana-mana pasukan berpakaian seragam, mereka akan ajar kawad dan jalan tegak...

Paling lucu, bila first time nak mandikan anak setelah balik dari hospital. Ermm…nak suruh isteri, dia tak sihat lagi…separuh mati nak keluarkan manusia seberat 4 kg. Berbekalkan majalah nona, aku urus bayi ikut step yang diajarkan…berjam mandikan dia. Menjerit-jerit ia kesejukan walaupun asalnya air tu suam. Tapi bila dah lama, suam pun jadi sejuk. Mujurlah Mesir waktu tu musim bunga...tak sejuk sangat.

Kalau orang datang ziarah anak aku, aku tak bagi mereka pegang lama-lama. Sayang rasanya nak lepaskan dan nak kasi mereka pegang walaupun selalunya bila mereka balik, bawah badan/bantal dia selalunya adalah ‘ole-ole’…rezeki anak dan adat orang melayu..he he.

Itu sikit cerita tentang anak pertama. Jadi bahan uji kebapaan aku. Anak-anak yang berikutnya, takde masalah sebab aku dah agak expert menguruskan kehadiran mereka hasil bahan uji yang pertama. Bahkan kerap kali juga aku dijemput jadi temporary coach untuk ajar member-member aku yang baru dapat bayi diluar negara.

Pengalaman itu amat berharga buat aku dan jauzah...syukur hingga anak yang ke 6 pun kami masih mampu berdikari mengurus kelahiran bayi tanpa perlu privatisekan pada mak atau mak mertua...puas rasanya jaga anak sendiri dari kecil. Hingga kini, kalau aku susah tidur, aku arahkan anak-anak aku panjat badan aku (yg kecik-kecik je) dan urut-urut kepala dan badan aku...itu jer caranya aku mudah tidur.

Itulah hebatnya ‘hadiah’ anak dari Ilahi (lepas tu ‘amanah’ paling berat yang terpaksa aku pikul). Tak kiralah lelaki ke perempuan…anak- anak merupakan anugerah iIahi yang amat berharga. Jantung kehidupan dan buah hati penyeri rumahtangga. Sesuai dengan firman Allah swt :

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِنْدَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا(46) الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَاباً وَخَيْرٌ أَمَلاً

(Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan)(1).

Rasulullah s.a.w. bersabda:

إِنَّ لِكُلِّ شَجَرَةٍ ثَمَرَةٌ، وَثَمَرَةَ الْقَلْبِ الوَلَدُ، إِنَّ اللهَ لا يَرْحَم مَنْ لا يَرْحَم وَلَدَهُ

Sesungguhnya bagi setiap pohon itu ada buahnya, dan buah hati seorang insan itu ialah anaknya)(2).

Justeru itulah setiap pasangan mengharapkan agar sampai ketikanya rumahtangga yang mereka bina akan didatangi tetamu kecil, penyambung zuriat pengikat kasih, mewarisi segala kebaikan siibu dan kehebatan si ayah.

Anak-anak kecil ini kelak diharapkan apabila dewasa menjadi kebanggaan kepada ibubapanya….kebanggaan kepada seluruh ahli keluarga. Berbangga dengan kurniaan anak merupakan naluri manusia dan diiktiraf oleh agama. Rasulullah saw bersabda:

مَا وُلِدَ فِي أَهْلِ بَيْتٍ غُلامٌ إِلا أَصْبَحَ فِيهِمْ عِزٌّ لَمْ يَكُنْ

(Tidak lahir seorang anak dalam satu-satu keluarga melainkan kehadirannya itu di sisi mereka mendatangkan kemuliaan yang tidak pernah wujud sebelum itu)(3).

Justeru itulah Rasulullah saw menggalakkan umatnya supaya berusaha memperolehi anak yang ramai untuk meramaikan lagi umat Muhammad. Dalam satu kisah yang diceritakan oleh Ma’qal bin Yasaar, seorang lelaki telah datang bertemu Rasulullah bertanyakan pandangan baginda. Katanya; wahai Rasulullah aku ini berkenan dengan seorang wanita yang baik lagi cantik, Cuma kekurangannya ia tidak boleh beranak, apakah harus aku berkahwin dengannya? Rasulullah menjawab: jangan, lelaki itu datang dan bertanya perkara yang sama dan Rasulullah menjawab dengan jawapan yang sama dan kali ketiganya Rasulullah berkata kepadanya:

(تزوجوا الولود فإني مكاثر بكم الأمم)

(Kahwinilah wanita yang boleh beranak, kerana aku berbangga dengan ramainya bilangan umatku)(4)

Rasulullah saw juga menasihati pasangan yang belum dikurniakan cahayamata supaya berterusan berusaha dan jangan mudah berputus asa. Rasulullah saw bersabda:
(لا يدع أحدكم طلب الولد، فإن الرجل إذا مات وليس له ولد انقطع اسمه)
(Janganlah salah seorang di kalangan kamu berputus asa untuk memperolehi anak, kerana seorang lelaki itu apabila mati dan tidak ada anak maka pupuslah namanya). Hadis riwayat al-Tabrani dengan sanad yang hasan.

LEPAS TU AMANAH…



Setelah Allah menganugerahkan kepada kita anak-anak, putera-puteri kecil itu memerlukan kasih sayang untuk mengharungi hidupnya. Anak-anak itu umpama kain putih yang menanti kita untuk mewarnakannya. Rasanya semua kita sedar bahawa Cuma anak yang soleh dan solehah sahaja yang akan memberuntungkan kedua ibubapanya di dunia dan akhirat. Tanggungjawab kitalah menbentuk mereka menjadi anak-anak yang baik, soleh untuk dirinya, kedua ibubapa, keluarga dan masyarakatnya. Justeru itulah kita digalakkan setiap kali melakukan hubungan dengan pasangan kita supaya memulakannya dengan doa dan berharap akan lahir nanti anak-anak yang baik hasil dari perhubungan tersebut. Iman Abu al-hassan al-Mawardi menyebut dalam kitabnya ‘Nasihat al-Muluk’: ‘Hendaklah setiap kali melakukan hubungan, berniat untuk memperolehi anak. Minta dihindarkan dari Syaitan yang direjam, dan berdoa semoga anak itu nanti, mudah-mudahan Allah menjadikannya hamba yang taat beribadah kepadanya, mengesakannya, dan mendatangkan kebaikan kepada makhluk, memperjuangkan yang hak, menyokong kebenaran, bermanfaat kepada hamba yang lain dan memakmurkan negara’.

(Kepada pasangan yang baru nak kahwin kena hafallah doa-doa tersebut. Jangan dok sibuk menguruskan kenduri, hantaran dan menguatkan otot sahaja. Malu nanti depan isteri kalau malam pertama terpaksa buka buku dulu baru boleh ingat…senyum menjeling pasangan nanti. Bukan jelingan manja tapi perli…)

Juteru itulah tanggungjawab mendidik dan membesarkan anak, tanggungjawab bersama. Baik si ibu maupun si ayah, mempunyai peranan masing-masing dalam membina pekerti, penampilan diri, sikap, sifat dan masa depan anaknya. Mendidik mereka, tidak cukup hanya dengan menyerahkan kepada satu pihak atau bila berlaku sesuatu menyalahkan pihak yang lain. Kalau dulunya kita sama-sama berdoa agar dikurniakan anak yang soleh, maka sekarang kita juga mesti bersama membina dan membesarkan anak tersebut agar ia menjadi anak yang soleh.

Berilah perhatian yang sewajarnya pada anak-anak. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari. Berilah perhatian dan masa yang mencukupi buat mereka dan jangan sesekali mengabai atau lalai dalam memberi pendidikan dan kasih sayang kepada mereka. Rasulullah bersabda:
(كفى بالمرء اثما أن يضيع من يقوت)
(Cukuplah seseorang itu jadi berdosa, apabila ia mengabaikan mereka Yang ia beri makan)

Sesetengah Ibubapa, dalam memberikan kasih sayang, membezakan antara anak lelaki dan perempuan. Sifat begini merupakan amalan arab Jahiliyyah di zaman Rasulullah saw. Islam tidak pernah membeza-bezakan antara anak lelaki dengan yang perempuan. Setiap ibu bapa perlu berlaku adil. Kerana lelakikah ia atau perempuan, semuanya anugerah Allah yang tiada bezanya Firman Allah dalam surah al-Syura ayat 49 dan 50:

لِلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ يَهَبُ لِمَنْ يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَنْ يَشَاءُ الذُّكُورَ(49)أَوْ يُزَوِّجُهُمْ ذُكْرَانًا وَإِنَاثًا وَيَجْعَلُ مَنْ يَشَاءُ عَقِيمًا إِنَّهُ عَلِيمٌ قَدِيرٌ(50)
(Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya; Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Atau Ia mengurniakan mereka kedua-duanya - anak-anak lelaki dan perempuan, dan Ia juga menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya: mandul. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa).

Malah Rasulullah menegaskan bahawa pahala yang diberikan kepada sesiapa yang memiliki anak perempuan dan berjaya mendidik nya dengan tarbiah yang sempurna. Pahala yang akan diperolehi oleh kedua ibubapanya amatlah besar. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabrani Rasulullah bersabda:
)من كانت له ابنة فأدبها وأحسن أدبها وعلمها وأحسن تعليمها وأوسع عليها من نعم الله التي أوسع عليه كانت له منعة وسترا من النار( رواه الطبراني
(Sesiapa yang memiliki anak perempuan, membentuk adab pekertinya hingga sempurna adab pekertinya dan mendidiknya hingga sempurna pendidikannya dan memberi kemudahan kepadanya dari apa yang dipermudahkan oleh Allah kepadanya, semua itu akan menjadi penghalang dan dinding antaranya dengan api neraka).

Justeru itu usahlah kita membeza-bezakan antara anak-anak kita, kerana sebenarnya lelaki atau wanita, yang menjadi ukuran di sisi Allah ialah cerdik dan pandainya kita mendidik mereka menjadi insan berguna dan taat pada tuhannya.

Kita berharap semoga Allah menganugerahkan kita putera yang soleh dan puteri yang solehah menemani hidup kita melayari hari tua, kerana itulah kemuncak kehidupan yang paling indah dan bermakna. Hanya kerananya kita mampu menutup mata dengan sempurna dan meninggalkan alam ini dengan penuh senyuman dan bekalan.

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُسْلِمَةً لَكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ(128) سورة البقرة

)Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada zuriat kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani(

_________________________________

(1)Surah al-Kahfi : ayat 46
(2)al-Haithami, Nur al-Deen Ali bin Abi Bakr (1412H) Maj'ma' al-Zawaid. Beirut; Dar al-Fikr.
(3) Riwayat al-Tabarani. al-Tabarani, Sulaiman bin Ahmad (1415H) al-Mu'jam al-Ausath. Kaherah; Dar al-Haramain. Jil. 7 Hal. 244 No. 7395. Kata al-Haithami dan al-Albani: dhaif
(3) Riwayat Abu Daud danAhmad. Sunan Abi Daud, Jil. 1 Hal. 529 No. 1692. Musnad
(4) Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan Nasaie.

6 comments:

  • Anonymous says:
    December 25, 2008 at 9:48 PM

    ibu-bapa, sama-ada terlebih manja-kan, atau kurang perhatian. Nak beri tengah2, hmm saya no komen pasal belum melaluinya.

    Tapi menurut experience, bapa memang yg x pandai nak pujuk2. Bila anak dah sedikit 'besar' nanti. Rasalah dendam kesumat yg terpendam sekian lama.. hehehe

  • Anonymous says:
    December 28, 2008 at 7:30 AM

    Wah... romantisnya saat-saat indah itu. He, he.. Kalau difilemkan, confirm dapat box office! Tahniah. Seorang abi yg amat wajar dicthi...

  • Abu Syifa' says:
    December 29, 2008 at 2:42 PM

    Menjadi bapa atas kertas dan dalam blog memang mudah...menulisnya juga memang mudah..tapi realitinya sangat payah...saya bukanlah yang terbaik. kalau kalian kenal kawan2 saya, seperjuangan dgn saya, mereka bagi saya idola dan sgt berjaya dlm mentarbiyyah anak dan mewariskan 'perjuangan'nya pada anak2. Saya masih mencuba....

  • Anonymous says:
    January 2, 2009 at 6:15 AM

    susah menjadi ayah. susah menjadi mak. artikel ni boleh baca melalui 2 perspektif

    1. sebagai bakal menjadi ibu bapa, ilmu mcm tarbiyyatul awlad dan parenting skill wajib dipelajari sebelum mendirikan bayt al muslim.

    2. sebagai anak, jagalah akhlak especially perempuan, dosa anak pompuan yg tak kawin lagi turut di'share dengan ayah. Jauhi kapel.

  • Anonymous says:
    January 19, 2009 at 12:24 AM

    subhanallah..mmg merupakan saranan yg tbaik utk memilih Adam yang bertaqwa..sbb dia insha Allah akn berusaha berbakti sebaik mungkin sbb takutkan tuhanNya...n nmpk juga, ikhwah yg sy kenali juga berusaha sebaik2nya..

    smoga Allah memberkati pasangan yang mujahadah tidak ber'couple' sblum kawen mdapatkn suami yg memahami n isteri yang mendamaikan...ameen..

  • hidayah seekers says:
    February 2, 2009 at 5:07 AM

    insyaAllah sy akan ingat pesan dan nasihat ustaz ne bla sy dah berumahtangga nnt..pro-palestin